Tahu tak.. bila kita mendengar orang bercerita kadang-kadang kita turut merasainya sebab orang yang bercerita tu dengan penuh feeling menceritakan kepada kita. Tetapi bila orang bercerita without no feeling susah juga kita nak feel kan.. hehehe.. so kali ni saya tulis jew cerita ni.. sebab bila baca dalam majalah sambil dengar lagu.. sedih juga hati ini.. and mengalir air mata membaca nya.. so bila nak baca.. sama ada nak dengar lagu dari blog ni.. or terpulang lagu yang mana anda nak dengar.. hehehe.. peace… ^v^
Kisah cinta dan perjuangan lelaki kulit hitam ini terlalu agung. Tidak terbayar dengan segala isi dunia. Malah kerana cinta itulah dia diangkat darjanya daripada seorang hamba yang sering dihina, dicemuh dan diseksa, kepada insan yang mulia di sisi ALLAH dan RASULULLAH S.A.W..
Kisah Bilal bin Rabah si tukang azan cukup meruntun jiwa sesiapa sahaja yang mengetahuinya. Dia dikagumi dek ketabahannya. Lelaki ini dilahirkan di daerah al-Sarah di pinggir kota mekah. Kira-kira tahun 43 sebelum hijrah sebagai seorang hamba. Ada pendapat mengatakan dia lahir di Habsyah (kini dikenali sebagai Ethopia).
Ayahnya bernama Rabah dan ibunya hamamah, seorang wanita berkulit hitam. Bilal mempunyai seorang abang bernama Sahib. Sejak kecil anak malang itu sering diejek oleh penduduk setempat dengan panggilan ‘Ibnul Sauda’ bermaksud putera wanita hitam.
Perjalanan hidupnya cukup pahit. Menurut cerita, kedua – dua ibu bapanya dikatakan berasal dari Habsyah berpindah ke Kota Mekah untuk membina kehidupan baru. Bagaimanapun, setibanya di pertengahan jalan, mereka dirompak, kemudian ditangkap dan ditawan sebelum dijual di pasar Ukaz.
Pasangan ini dibeli keluarga Bani Abdul Dar. Mereka dipaksa bekerja siang dan malam tanpa diberi makan mencukupi serta dilayan dengan kejam. Pernah suatu ketika, sahib menangis kelaparan, lalu si ibu mengambil sekeping roti sisa makanan tuannya. Melihat keadaan itu, wanita malang itu diherdik dan dipukul. Roti itu dicampak kepada anjing. Bagi mereka Bilal sekeluarga lebih hina daripada anjing.
Setelah meningkat remaja, dia terpaksa berpisah dengan satu-satunya saudara kandung. Sahib dijual kepada pasangan suami isteri yang kaya di Yemen. Abangnya beruntung kerana pasangan tersebut tidak mempunyai anak. Dia dilayan seperti anak sendiri. Sementara si ibu menderita kerinduan, tambahan pula sering diseksa oleh tuannya sehingga meninggal dunia. Tidak lama selepas itu, ayahnya meninggal pula meyusul kerana sakit tenat.
Tinggallah anak itu sebatang kara. Dalam usia yang masih muda,Bilal kehilangan semua orang yang disayangi. Setelah ayahnya meninggal, Bilal diserahkan pada tuan yang baru iaitu Umaiyah bin Khalaf. Pada mulanya dia dlayan dengan baik.
Lebih-lebih lagi dia seorang hamba yang setia dan patuh terhadap tuannya. Malah dia dikenali sebagai seorang yang rajin, bertanggungjawab, ikhlas, amanah, berani, tabah dan sanggup menghadapi risiko demi mempertahankan kebenaran.
Setelah Rasulullah s.a,w dipilih menjadi Nabi, Bilal adalah antara orang terawal yang memeluk Islam, bersama Khadijah binti Khuwailid, Abu Bakar As-Siddiq, Ali bin Abi Talib, Ammar Ibnu Yasir, Sumaiyyah, Suhaib Ar-rum dan Miqdadal-Aswad.
Dia begitu bersungguh-sungguh mendalami agama yang baru dianuti itu sehingga sanggup berulang-alik ke rumah Arqam bin Abi al-Arqam secara bersembunyi kerana bimbang diketahui oleh tuannya. Bagaimanapun berita pengislaman Bilal sampai ke pengetahuan Umaiyah. Dia memujuk Bilal agar meninggalkan islam dan kembali kepada agama asal. Tetapi Bilal berkeras mempertahankan Islam sebagai anutannya dunia dan akhirat.
Dengan nada marah, Umaiyah berkata, “Aku berkuasa ke atas seluruh tubuhmu.”
Dengan tenang hamba itu menjawab, “walaupun seluruh jasad ku milikmu, tetapi bukan fikiranku, imanku dan kepercayaanku.”
Setelah gagal memujuk, Umaiyyah mula bertindak kejam. Bilal bukan hanya dipukul dan diarak mengelilingi kota Mekah, tetapi diikat batu besar di atas badan dalam keadaan berbogel, kemudian diseret ke tengah padang pasir. Lelaki itu juga dipukul, diseksa, dipakaikan baju besi dan dijemur di tengah panas membahang tanpa diberi makan dan minum walau seteguk air. Badannya berselirat kesan sebatan cemeti.
Semua itu bukan sahaja tidak melemahkan keimanannya, malah menguatkan lagi ketakwaannya. Ia menghairankan Umaiyah. Puas dipaksa agar mengaku al-Latta dan al-Uzza sebagai tuhan tetapi Bilal tetap enggan. Mulutnya hanya menyebut nama Allah dan dia menerima seksaan itu dengan tenang dan redha.
Kisah kekejaman itu sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq. Lalu beliau menemui Umaiyah untuk menebusnya dengan harga Sembilan uqiyah emas, tanpa tawar menawar. Sementara Umaiyah berkata,”Andai diminta kurang sehingga satu uqiyah emas pun aku sanggup menjualnya.”
Lalu sahabat Rasulullah s.a.w itu menjawab, “andai harga Bilal setinggi 100 uqiyah emas pun aku sanggup bayar.” Kemudian lelaki budiman yang teguh imannya itu dimerdekakan. Abu Bakar menceritakan kisah Bilal itu kepada Rasulullah s.a.w. Baginda ingin berkongsi wang tebusan, tetapi Abu Bakar enggan.
Setelah memeluk Islam, apa sahaja yang dilakukan semata-mata kerana ALLAH. Dia mula mengenal betapa manisnya iman. Nasibnya berubah daripada seorang anak yatim piatu dan hamba sejak kecil kepada tukang azan yang menyeru umat islam mengerjakan solat sebaik sahaja masuk waktunya. Namanya cukup dikenali di kalangan para sahabat dan umat islam.
Darjatnya begitu mulia disisi ALLAH. Suaranya penuh keikhlasan bergema di kota mekah dan madinah tika mengalunkan azan. Ada pendapat yang mengatakan bahawa suara itu melepasi langit ke tujuh sehingga ke Arasy. Para malaikat dikatakan sentiasa menanti alunan suara lelaki berkulit hitam itu berkumandang.
Bagaimanapun masih ada yang dengki dan menghasut Rasulullah s.a.w untuk mengantikan Bilal. Namun, laungan itu tidak semerdu dan seikhlas Bilal sehingga malaikat bertanya tentang hal tersebut. Selain tugas rutin itu, dia turut menyertai tentera Muslimin dalam beberapa siri peperangan memerangi musuh Islam.
Justeru, kewafatan Nabi s.a.w merupakan kehilangan yang besar baginya dan memberi kesan yang mendalam kepada lelaki itu. Kasih Bilal kepada baginda tiada tandingan sehingga dia tidak mampu untuk mengalunkan azan seperti sebelumnya. Tiap kali menyebut Muhammad, hatinya tiba-tiba sebak dan air mata terus mengalir.
Lalu, dia tidak mahu lagi meneruskan tugas seperti biasa biar puas dipujuk oleh para sahabat. Sewaktu permerintahan khalifah Abu Bakar, Bilal meminta izin untuk mengikut tentera Muslimin berperang tetapi tidak dibenarkan dengan alasan khalifah masih memerlukannya di Madinah. Abu Bakar tahu, lelaki itu ingin syahid di medan juang kerana mahu berjumpa dengan insan yang dikasihi.
Ketika zaman Khalifah Umar, permintaannya dipenuhi. Dia pergi bersama isteri yang juga seorang wanita Islam, Tentera islam berjaya menakluki Baitulmuqaddis, tetapi impian Bilal untuk syahid tetap tidak kesampaian. Ketika peristiwa itulah suara Bilal melaungkan azan dikatakan kembali bergema sehingga membuatkan semua para sahabat menangis mengenangkan Rasulullah s.a.w yang telah pergi menemui ilahi.
Saiyidina Umar pernah berkata bahawa bukan Bilal sahaja yang sedih dengan kematian Baginda. Beliau juga serupa. Bilal menjawab sambil membendung kesedihan yang tidak terhingga.
“Kesedihanku tidak sama dengan kesedihan tuan. Tuan dilahirkan sebagai insan yang merdeka. Sedangkan aku pula sebagai hamba. Tuan tidak pernah merasai bagaimana gembiranya apabila seorang hamba dimerdekakan. Namun, Rasulullah s.a.w telah membebaskanku. Bukan setakat itu. Baginda juga memuliakanku di saat orang lain menghina. Kemudian aku dilantik sebagai tukang azan. Malah baginda s.a.w pernah berkata, baginda mendengar bunyi sepatuku di dalam syurga.”
Dia dan keluarga kemudian berpindah ke Damsyik, Syria. Lelaki itu meninggal dunia pada tahun 23 hijrah ( ada yang mengatakan tahun 20 hijrah bersamaan 641 masihi) di sana dalam usia 63 tahun iaitu sama usia kekasihnya, Rasulullah s.a.w ketika wafat.
No comments:
Post a Comment