Mujahadah hawa nafsu; "Kenali kedoifan, kelemahan diri kita untuk mencapai satu maqam ehsan disisi Allah سبحانه وتعالى. Satu maqam yang nafsunya mencapai tingkatan yang sempurna disisi Allah سبحانه وتعالى. Bersama kita bermuhasabah diri dan tanya diri kita. Dimanakah nafsu kita berada sekarang?"
"Nafsu itu terbahagi kepada tujuh jenis tingkatan nafsu manusia. Yang pertama adalah Nafsu Ammarah jahat. Yang kedua adalah Nafsu Lawwamah Mencela Diri Sendiri. Yang ketiga adalah Nafsu Mulhamah Ilham dari-Nya. Yang keempat adalah Nafsu Mutmainnah Tenang. Yang kelima adalah Nafsu Radhiah Redha. Yang keenam adalah Nafsu Mardhiah Wali Allah. Yang ketujuh adalah Nafsu Kamilah Sempurna."
"Manusia kebiasaanya bermula pada nafsu ammarah iaitu nafsu yang mengajak seseorang itu kepada kejahatan dan keburukan. membawanya kepada dosa dan maksiat. Apabila dia bermujahadah melawan dengan nafsunya maka nafsunya itu akan membawa kepada tingkatan nafsu lawwamah iaitu nafsu yang mencela, mengkritik dirinya sendiri." Kenapa aku melakukan dosa. Kenapa aku melakukan kemaksiatan"
"Dia mencela dirinya sendiri. Dia melihat keaiban dirinya sendiri. Allah سبحانه وتعالى mengurniakan manusia dua mata. Yang mana satu mata adalah untuk melihat kebaikan, kelebihan orang lain dan satu mata lagi untuk melihat keburukan dan keaiban dirinya sendiri."
"Maka nafsu lawwamah ini dilawan akan naik kepada nafsu mulhamah. Nafsu yang dikurniakan oleh Allah untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik. Dan apabila bermujahadah lagi maka nafsunya itu akan naik kepada nafsu mutmainnah iaitu nafsu yang tenang."
"Tenang dengan apa yang terjadi. Apabila diperangi, dilawan maka ia akan naik lagi kepada tingkatan nafsu radhiah iaitu nafsu yang redha. Redha akan takdir Allah سبحانه وتعالى. Berasa gembira, seronok "happy." Apabila Allah timpakan musibah maka dia berasa "happy" kerana ianya daripada Allah سبحانه وتعالى. Disakiti oleh manusia maka dia redhai. Redha itu penting ke atas apa yang berlaku, takdir yang menimpa kepadanya dan ke atasnya. Dia redha."
"Daripada nafsu radhiah dia bermujahadah lagi maka akan naik kepada nafsu mardhiah Nafsu Para Wali. Pada peringkat ini nafsu dia bukan sahaja redha tetapi ianya diredhai oleh Allah سبحانه وتعالى. Pada ketika ini segala perhubungannya, kelakuannya adalah kepada segala kebaikan dan ketaatan. Nafsunya itu menjadikan ia melakukan ketaatan. Tak terfikir pun untuk melakukan kejahatan."
"Wali Allah سبحانه وتعالى juga bukan maksum dan ianya juga tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Tetapi, Kadang-kala dosa itu yang akan menaikkan lagi maqamnya kerana ianya menyesal kepada perkara dosa yang dilakukan tersebut."
"Dan ianya akan meningkatkan lagi ibadahnya. Contohnya dia melakukan satu malam bertahajud menyesal ke atas dosanya. Memperbaiki diri lagi, muhasabah diri lagi untuk menjadi lebih baik. Di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah. Rasulullah ﷺ bersabda "Apabila kamu sekalian melihat seseorang mukmin itu pendiam dan tenang maka dekatilah ia. Sesungguhnya dia akan mengajarkan kepada kamu "hikmah."
"Kemudian daripada nafsu mardhiah naik kepada tingkatan nafsu yang paling tinggi iaitu nafsu kamilah yang sempurna yang mana ianya hanya dicapai oleh Para Rasul, Para Nabi. Akan tetapi manusia biasa juga boleh mencapai tingkatan itu dengan syarat ianya betul-betul bersungguh-sungguh bermujahadah melawan nafsunya seperti Para Wali dan Para Solihin."
"Orang yang berada pada peringkat nafsu yang tertinggi ini yakni nafsu kamilah. Setiap perlakuannya benar-benar mengikut garis keredhaan Allah سبحانه وتعالى dan tidak pernah terdorong oleh hasutan nafsu dan syaitan kepada kejahatan."
"Cintanya tertumpa pada Allah سبحانه وتعالى. Ingatannya pada Allah tidak pernah terputus. Allah سبحانه وتعالى menyebutkan di dalam hadis qudsi mengatakan "Sesungguhnya telah lama orang yang baik-baik itu rindu untuk bertemu dengan Aku. Dan ketahuilah sebaliknya Aku lebih rindu untuk bertemu dengan mereka."
"Memerangi hawa nafsu itu adalah satu jihad. Setiap orang itu perlu bermujahadah melawan hawa nafsunya. Seorang yang bermujahadah melawan hawa nafsu amarahnya akan ada beberapa tingkat di dalam keikhlasan dalam ibadat mereka. Pertama, dia akan melakukan semuanya ibadatnya pekerjaannya kerana habuan dunia semata-mata."
"Jika dia bermujahadah lagi, dia akan sampai pada tahap Kedua iaitu, iaitu melakukan amalan tetapi ada percampuran, dia inginkan redha Allah سبحانه وتعالى tapi dalam masa yang sama dia inginkan habuan dunia."
"Jika dia mujahadah lagi, akan sampai tahap Ketiga iaitu beliau melakukan amalan kerana menginginkan kelebihan atau kesihatan pada tubuh badan. Contohnya, beliau berpuasa sunat hanya untuk menjaga tubuh badannya supaya sihat."
"Jika dia bermujahadah lagi, dia akan sampai pada tahap Keempat , peringkat keikhlasan ini diterima Allah سبحانه وتعالى akan tetapi belum sampai pada tahap wali Allah سبحانه وتعالى. Dia melakukan amalan kerana mengharapkan syurga dan takutkan neraka."
"Jika dia bermujahadah lagi. Dia akan sampai pada tahap makrifat diri pada Allah سبحانه وتعالى, dia beramal bukan kerana takutkan syurga atau neraka, tetapi kerana beliau beramal semata-mata kerana menginginkan Redha Allah سبحانه وتعالى semata-mata."
Copy paste