Suatu hari, seorang ayah ditanya anaknya beberapa soalan mengenai Tuhan.
Ayahnya duduk, meletakkan tangannya ke bahu si anak. Tersenyum menantikan soalan-soalan si anak.
(1) apakah itu Tuhan?
Anakku, mari ayahmu bacakan Surah al-Ikhlas (Qulhuwallah..) padamu.
"Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya."
(2) di manakah Tuhan itu tinggal?
Anakku, mari ayah bacakan beberapa ayat dari al-Quran untukmu.
Yang pertama dari Surah al-Mulk ayat ke-16 yang bermaksud,
"Apakah kamu merasa aman terhadap Allah yang di langit bahawa Dia akan menjungkir balikkan bumi bersama kamu, sehingga dengan tiba-tiba bumi itu bergoncang?"
Yang kedua dari Surah Ta Ha ayat ke-5,
"(Iaitu) Tuhan Yang Maha Pemurah, Yang bersemayam di atas 'Arsy."
Sepotong hadis hasan sahih dari lafaz Imam al-Tirmidhi yang bermaksud,
"Kamu semua telah dikahwinkan oleh keluarga kamu (dengan Rasulullah s.a.w) , tetapi aku telah dikahwinkan oleh Allah swt dari atas tujuh langit." (HR Imam Bukhari, 6870. Tirmidhi, 3137)
Dari dalil-dalil ini, menjadi aras tanda pusat pemerintahan Allah itu di langit namun bukanlah Allah itu tinggal di langit. Adapun begitu anakku supaya kamu lebih tenang dan jelas, akan daku hantarmu mendalami agama dengan guru-guru yang lebih alim. Sesungguhnya perlu kamu tahu, "Laisa Kamislihi Sya'iun" iaitu Allah tidak sama dengan makhluk. Maha Suci Allah yang lebih mengetahui murad (makna sebenar yang dikehendaki) ayat-ayat-Nya. Allah itu wujud tanpa bertempat. Allah tidak bergantung pada Arasy atau langit.
(3) Di manakah Tuhan itu berada ketika saya kesakitan? (4) Apakah Tuhan tidak mempedulikan saya?
Anakku yang dikasihi, ketika dirimu atau diriku sakit, Allah sentiasa dekat. Mari daku bacakan dirimu ayat dari Surah al-Baqarah ayat ke-186,
“Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka katakanlah sesungguhnya Aku dekat. Aku mengabulkan doa orang yang memohon apabila ia memohon kepadaKu. Maka hendaklah mereka memenuhi (panggilan/perintah)Ku, dan beriman kepadaKu agar mereka mendapat petunjuk (bimbingan).”
Maka ketika dirimu sakit, pohonlah kepada Allah agar diberikan kesembuhan. Pasti aku jua memohon kepada Allah agar dirimu cepat sembuh. Sungguh, sakit itu nikmat. Tanpa rasa sakit, kita tidak mengerti nikmat kesihatan. Malahan dalam sakit, Allah menggugurkan dosa-dosa. Tanpa kesakitan, kamu tidak mengerti erti ketabahan. Jatuh tersungkur 3, 4 kali. Bangun berdiri kembali lebih tabah 6-7 kali.
Peduli Allah itu tidak sama dengan peduli makhluk. Jika ayahmu ini sakit hingga meninggal dunia, bukan kerana Allah tidak peduli. Namun, Allah sudah mengurangkan kesengsaraan ayah di dunia dan menyediakan ganjaran di akhirat jika ayah bersabar. Nabi Yahya dan Zakaria dibunuh, adakah tanda Allah tidak peduli? Tidak melainkan Allah menyediakan Syurga tempat yang lebih baik di akhirat. Dunia ini hancur. Namun, akhirat itu kekal.
"Apakah manusia menyangka mereka dibiar berkata kami telah beriman sedang mereka tidak diuji (keimanannya)?" (Surah Al-Ankabut, 29: 2)
(5) kalau semua ada yang menjadikan, siapakah pula yang menjadikan Tuhan?
Anakku,
Dari Surah al-Ikhlas tadi ayah telah nyatakan,
"Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan."
Dan dari Surah al-Hadid ayat ke-3 yang bermaksud,
"Dialah Yang Awal dan Yang Akhir, Yang Zhahir dan Yang Bathin ; dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu."
Soalanmu itu anakku, jika dijawab dengan logik pemikiran manusia pasti tidak akan berkesudahan. Allah tidak dijadikan, tetapi kitalah yang dijadikan.
Seperti kamu tanyakan pada diri sendiri,
"Siapakah yang menjadikan bau sedap pada nyanyian ibu?"
Sedangkan nyanyian sedap ibu tiada kaitan dengan bau.
Ayah dengan pemikiran cetek cuma mampu menjawab dengan sepotong hadis yang bermaksud,
"Dari Abu Huraira, katanya: Berkata Rasulullah s.a.w., ‘Manusia akan terus bertanya sehinggalah dikatakan, ‘ Ini diciptakan Allah, maka siapa yang mencipta Allah? Barangsiapa yang mendapati sesuatu dari (soalan) itu, maka katakanlah, ‘Amantu Billah ( Aku beriman kepada Allah)." (HR Muslim, Bab Penjelasan Was-Was dalam Iman)
(6) kalau ayah percaya bahawa akan sampai ke titik akhir, bahawa hanya 1 yang tinggal, untuk menjadikan semua yang wujud, yakni Tuhan (pemula) maka apakah Dia buat sebelum segala yang wujud ini wujud?
Anakku,
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud,
"Allah telah sedia wujud (azali) dan selain Allah tiada sesuatupun yang sedia wujud (azali)". (Sanad sahih melalui riwayat al-Bukhari)
Sesungguhnya anakku,
"Segala yang terbayang dibenak fikiranmu maka ketahuilah bahawa Allah tidak sedemikian."
Itulah yang dikatakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal.
Jika kamu terbayang Allah itu berjisim seperti manusia, kamu telah salah. Jika kamu terbayang kerja Allah sebelum menciptakan segala sesuatu, kamu juga telah salah. Kerana Allah bukan seperti makhluk, seolah-olah ditanyakan,
"Sebelum keluar result SPM kamu buat apa ya?"
Soalan seperti ini langsung tidak layak pada Tuhan.
"apakah Dia buat sebelum segala yang wujud ini wujud?"
Seolah-olah kedengarannya Tuhan itu tarafnya seperti manusia hina. Boleh disoal seperti temuduga kerja. Sungguh, MASA itu juga milik Allah. 'Sebelum' dan 'selepas' juga milik Allah. Kita tidak layak menyoal Allah. Kita tidak layak menemuduga Allah.
Jangan begitu ya anakku.
(7) apakah Tuhan terlalu sunyi, seorang diri, maka memerlukan Dia mencipta yang lain - lain, untuk Dia menguji?
Anakku, ketahuilah Allah tidak memerlukan pun kepada kita. Diciptakan kita adalah semata-mata untuk menghambakan diri kepada-Nya. Dia boleh hapuskan kita bila Dia nak.
Dari Surah al-Ra'd ayat 39,
"Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki).."
Surah Fatir ayat ke-16,
"Jika Dia menghendaki, nescaya Dia memusnahkan kamu dan mendatangkan makhluk yang baru (untuk menggantikan kamu). "
Sunyi adalah perkataan yang hanya sesuai pada makhluk. Seolah-olah perlukan pasangan, seolah-olah bosan tiada hiburan.
Lagipun, adakah masuk akal Tuhan menciptakan segala kejadian di bumi dan di langit lantaran Dia sunyi? Mengapa tidak Dia ciptakan sahaja pasangan yang setaraf ketuhanan dengan-Nya saja? Barulah 'bagai pinang dibelah dua, pipit sama pipit, enggang sama enggang.'
Mustahil juga seorang manusia, bila sunyi pergi bertunang dengan monyet, kan?
Jika Allah sunyi, pasti Dia mencipta kita semua ini menjadi sekutunya, menjadi kawan-Nya. Namun, mengapa sebahagian besar menjadi lawan-Nya? Ada berpuluh golongan, satu saja masuk Syurga?
Sungguh pelik jika manusia, sunyi hati lalu mencari musuh. Abnormal.
Ayah sudahi persoalan ini dengan Surah al-Zumar ayat 67 yang bermaksud,
"Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya - pada hari kiamat - dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha Sucilah Ia dan Tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan."
Maka anakku sayang, cintailah dan hormatilah Allah dengan setinggi-tinggi penghormatan. Bila tak tahu, maka belajarlah. Belajar dengan beriman perlu seiring. Jika belajar, namun iman dikesampingkan, rosaklah ilmu. Penuhlah nanti hati dengan keraguan2.
Kita tidak pernah melihat Allah mahupun Nabi Muhammad s.a.w., namun kita yakin dan beriman mereka wujud dan kita yakin di akhirat kelak kita pasti bertemu, insya-Allah.
Apapun, maafkan ayah andai ilmu ayah masih cetek. Kerana itulah, ayah mahu kamu belajar tinggi-tinggi sampai timbul cinta pada Allah dan Nabi.
from Mr. Muhammad Rusydi..
For.. REMEMBER.. ALLAH ONLY ONE IN MY HEART..