Begitu indah nama Zinnirah seindah akhlaknya. Ada segelintir para manusia yang kurang tahu kisah ketabahan dan keagungan cintanya kepad ALLAH S.W.T..
Zinnirah merupakan wanita berbangsa Rom yang telah ditawan dan dijual di kota Makkah.Kemudian Umar Al-Khattab membelinya dengan harga yang sangat rendah untuk dijadikan hamba.
Zinnirah seorang wanita mithali yang sama sekali tidak terkenal dengan kecantikan atau kebangsawanannya. Dia tidak memiliki limpahan harta mahupun kecantikan paras rupa. Dia hanya seorang hamba kepada Umar Al-Khattab sebelum keislamannya. Namun Zinnirah mempunyai pegangan akidah tauhid yang kuat sewaktu zaman penentangan Islam. Meskipun fizikal wanita itu diseksa dengan berbagai-bagai kesakitan, penderitaan mahupun kesusahan.. Namun hatinya tetap teguh kepada ALLAH S.W.T. Zinnirah, menerima penyeksaan itu dengan reda walaupun anggota tubuhnya hancur akibat menerima pukulan demi pukulan yang memeritkan. Demi Islam dia tidak akan mengaku kalah.
Dunia dan segala intinya bukan lagi matlamat utamanya. Sekalipun dilonggokkan emas sebesar Bukit Uhud, dia tidak akan menukar akidah yang telah bertunjang dalam hatinya. Zinnirah.. adalah antara orang yang awal memeluk agama Islam. Oleh sebab cinta daam hatinya hanya untuk ALLAH S.W.T dia telah menerima pelbagai penderitaan, kata-kata nista dan penindasan dari Umar.
Pada peringkat awal, Zinnirah cuba menyembunyikan keislamannya daripada diketahui Umar. Dia melakukan ibadah ketika orang lain tiada di rumah atau waktu tengah malam ketika orang lain sedang nyenyak tidur. Namun, lama - kelamaan amal solehnya dapat dicium oleh musuh. Sudah tentu orang yang paling marah ketika itu ialah Umar. Siapalah yang tidak kenal Umar Al-Khattab yang terkenal dengan sikap kejam, bengis, ganas, garang, tidak berhati perut, tidak berperikemanusiaan itu? Umar terus menampar Zinnirah, menendang, mengikat kedua-dua belah kaki dan tangan Zinnirah. Kemudian, Zinnirah dijemur di tengah panas mentari, Sungguh panas padang pasir pada waktu siang dan terlalu sejuk pada waktu malam, badannya dihempap dengan batu besar dan seribu satu penyeksaan yang diterimanya.
Dalam keperitan fizikal, Zinnirah masih mampu menguntumkan sentuman. Hatinya tidak putus-putus mengucapkan "ALLAH, ALLAH, ALLAH, ALLAHUAKBAR, ALLAH Yang Maha Besar."
Dan hatinya berbisik, " Ini untuk-Mu wahai Tuhan, aku membeli kesusahan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat." Begitulah ungkapan katanya yang menjadi penawar untuk Zinnirah. Kemuncak penyeksaan yang diterima oleh perempuan itu ialah apabila matanya dicucuk dengan besi tajam dan akhirnya gelaplah seluruh pandangannya. Hatinya masih mampu berbisik.
"Tuhan, walau aku dibunuh mati, aku lebih rela daripada menjual agama-Mu ini, Ya Allah. Semakin aku diuji, semakin terasa kehebatan dan keagungan-Mu, Ya Allah. Panahan cinta daripada-Mu itulah makin menguatkan diri ini untuk menerima apa sahaja. Cuma satu permintaanku, berilah petunjuk kepada orang yang menyeksaku ini. "
Walaupun matanya buta untuk melihat alam maya, hatinya tidak buta untuk menerima cahaya kebenaran Islam. Pandang hati boleh menembusi pandangan zahir. Apabila melihat keadaan Zinnirah, orang-orang Quraisy cuba mempermain-mainkannya. Mereka mengatakan sembahan mereka iaitu, Latta dan Uzza. Zinnirah menolak penghinaan itu. Baginya kedua-dua berhala itu tiada sedikitpun kena-mengena dengan matanya. Dia cuba meyakinkan mereka bahawa buta matanya itu datang daripada ALLAH S.W.T. Maka ALLAH yang berkuasa mengembalikan pancainderanya seperti biasa.
Ternyata doa orang teraniaya ini makbul. Akhirnya Umar memeluk Islam setelah mendapat hidayah ALLAH S.W.T melalui adiknya, Fatimah. Malah Saidina Umar menjadi sahabat yang tergolong sebagai Khulafa Ar-Rasyidin. Sifat bengisnya bertukar menjadi lembut, garang bertukar kepada pemaaf, bakhil bertukar kepada pemurah, tidak berhati perut kepada bertimbang rasa, gila dunia kepada gila akhirat.
Allah S.W.T mengambil sekejap nikmat mata, kemudian memulangkannya semula kepada Zinnirah. ALLAH S.W.T menggantikannya dengan mata yang lebih baik. Zinnirah boleh melihat seperti biasa, lebih terang daripada matanya yang asal. Demikianlah pertolongan ALLAH S.W.T kepadanya bagi menguatkan lagi keimanannya. Tidak lama kemudian, Saidina Abu Bakar hadir menyelamatkan Zinnirah dengan membelinya dengan harga yang tinggi. Terselamatlah dia daripada menjadi mangsa penindasan orang-orang kafir.
Antara sifat wanita yang solehah ini, dia sentiasa merasa ALLAH S.W.T memerhatikan dirinya, setiap detik dan saat. Apabila nafsunya mengajak berbuat sesuatu perkara yang mungkar,segera pula hatinya bertindak balas dengan mengatakan ALLAH S.W.T Maha Melihat. Nafsu yang mahu berbuat jahat segera ditepis dengan katanya, wahai nafsu mengapa engkau tidak takut dengan nereaka?
Hati Zinnirah sentiasa terpimpin, begitu juga dengan akhlaknya. Buktinya, hati dan jiwa berasa aman daripada kongkongan hawa nafsu. Kemerdekaan jiwa inilah yang diperolehi Zinnirah, wanita yang tidak terkenal di dunia tetapi terkenal di langit.